Sultan Pahang terus jadi sebutan
KUALA LUMPUR: Nama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terus menjadi pilihan hangat untuk diketengahkan sebagai calon utama bagi merebut jawatan Presiden...
KUALA LUMPUR: Nama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terus menjadi pilihan hangat untuk diketengahkan sebagai calon utama bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad menganggap Sultan Abdullah sebagai individu paling layak untuk kembali memimpin FAM berdasarkan pengalaman baginda yang pernah menerajui badan induk itu.
Redzuan yang pernah berkhidmat bersama-sama Sultan Abdullah sebagai Timbalan Presiden FAM sebelum ini menganggap baginda mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terbaik dan mampu membawa perubahan kepada sukan bola sepak negara.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, persoalan terbesar ketika ini adakah Sultan Abdullah berkenan untuk menerima cadangan daripada banyak pihak yang mencadangkan nama baginda sebagai presiden baharu FAM.
“Pilihan pertama saya adalah Sultan Pahang dan saya pernah berkhidmat dengan baginda ketika kami bersama-sama memangku jawatan Timbalan Presiden FAM. Sebab saya nampak bagaimana cara baginda bekerja keras.
“Baginda tiada kepentingan peribadi, tidak menonjolkan diri dan baginda betul-betul berkhidmat untuk bola sepak. Saya berkecimpung dalam bola sepak 28 tahun dan pernah bertugas bersama baginda dengan cukup rapat.
“Saya tengok cara baginda bekerja dan dalam membuat keputusan, saya berasa baginda yang terbaik jika kita mahu angkat sebagai Presiden FAM. Namun, persoalannya ketika ini adakah baginda nak terima atau tidak.
“Baginda juga boleh terima pandangan dan kritikan, tiada masalah dan kita pun lihat ketika mesyuarat EXCO atau sebagainya. Namun, kritikan itu biarlah beradab dan membina, bukan maki hamun atau sebagainya,” katanya kepada BH Sukan.
Nama Sultan Abdullah menjadi antara yang hangat dicadang untuk merebut jawatan Presiden FAM pada kongres pemilihan akan datang yang bakal diadakan selepas proses pemulihan terhadap pentadbiran badan induk itu selesai sepenuhnya.
Selain beberapa nama menjadi cadangan daripada sesetengah pihak, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin turut menyatakan minat untuk bertanding merebut kerusi nombor satu itu.
Selain itu, Redzuan menyifatkan pemilihan kerabat diraja untuk memimpin FAM dilihat mampu memberikan kelebihan buat badan induk itu terutama dalam mendapatkan dana atau penajaan untuk pembangunan bola sepak.
Sumber: Berita Harian
No Comment! Be the first one.