Semangat jadi bekal Melaka FC berdepan JDT
MELAKA: Prestasi memberangsang skuad Melaka FC (MFC) dalam beberapa perlawanan terakhir sebelum ini menjadi sandaran skuad terbabit berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan suku akhir...
MELAKA: Prestasi memberangsang skuad Melaka FC (MFC) dalam beberapa perlawanan terakhir sebelum ini menjadi sandaran skuad terbabit berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.
Bagaimanapun MFC berdepan lawan sukar yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak berdasarkan rekod dan prestasi JDT dalam saingan Liga Super, Piala Malaysia mahupun Liga Juara Juara Asia Elit (ACLE).
Pengurus MFC, Muhammad Najmi Mohd Nordin berkata, aksi tanpa tewas skuad berkenaan di Liga Super setakat ini mengambarkan skuad terbabit amat dominan untuk berdepan MFC di gelanggang mereka malam esok.
Begitupun Najmi yakin skuad bimbingan jurulatih E Elavarasan akan beraksi dengan semangat juang tinggi untuk memastikan saingan dapat ditampilkan dengan efektif.
“Di atas kertas sememangnya JDT memiliki barisan terbaik yang sukar digugat. Namun kami hadir untuk memberi tentangan sebaik mungkin pada saingan pusingan pertama ini sebelum bertemu lawan di Melaka.
“Mana-mana pasukan pasti mengintai kemenangan berdepan JDT biarpun laluan amat berduri menerusi kemantapan pasukan terbabit di semua posisi,” katanya.
MFC mara ke suku akhir selepas mengatasi Sabah 3-0 pada pusingan kedua Piala Malaysia di Likas sekali gus mencatat agregat 5-2 untuk berdepan JDT.
Sumber: Berita Harian
No Comment! Be the first one.