MCMC buka rundingan awam perkukuh keselamatan dalam talian
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mula membuka rundingan awam untuk memperkukuhkan keselamatan dalam talian, termasuk perlindungan kanak-kanak dan golongan rentan...
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mula membuka rundingan awam untuk memperkukuhkan keselamatan dalam talian, termasuk perlindungan kanak-kanak dan golongan rentan melalui draf kod baharu.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, hari ini, rundingan itu adalah berhubung cadangan kerangka kawal selia bagi Pelan Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Plan).
Katanya, ia termasuk draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025.
“Kerangka kawal selia serta draf kod yang dicadangkan bertujuan mempertingkat keupayaan platform dalam talian mengurus risiko keselamatan, dengan penekanan khusus terhadap perlindungan kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan.
“Kerangka kawal selia dan draf kod itu menetapkan keperluan yang jelas kepada penyedia perkhidmatan untuk mengambil langkah munasabah serta berkesan bagi mengurangkan kemudaratan dalam talian secara praktikal,” katanya.
Menurut MCMC, rundingan itu akan memberi peluang kepada orang awam berkongsi pandangan bagi membentuk ekosistem dalam talian yang lebih selamat serta menilai keberkesanan langkah perlindungan.
“Orang awam, pemain industri, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan dialu-alukan untuk meneliti dokumen rundingan dan mengemukakan maklum balas,” katanya.
MCMC berkata, orang awam dijemput meneliti dokumen rundingan dan menghantar maklum balas bertulis, secara fizikal atau elektronik, selewat-lewatnya jam 5 petang 13 Mac depan.
“Untuk maklumat lanjut dokumen rundingan awam mengenai cadangan kerangka kawal selia bagi Pelan Keselamatan Dalam Talian, sila layari https://mcmc.gov.my/en/onsa/media/announcements/public-consultation-on-t….
“Bagi draf Kod Pengurangan Risiko dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak, sila layari https://mcmc.gov.my/en/onsa/media/announcements/public-consultation-on-t…,” katanya.
Sumber: Berita Harian
No Comment! Be the first one.