Bukti Sembilu tidak sekadar filem, patutlah fenomena
BAGI generasi yang membesar sekitar era 1990-an, Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam adalah filem cinta paling ikonik ketika itu. Fenomena karya dibintangi Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain itu...
BAGI generasi yang membesar sekitar era 1990-an, Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam adalah filem cinta paling ikonik ketika itu.
Fenomena karya dibintangi Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain itu bukan sahaja menjadi ‘pop culture’ bagi anak-anak muda zaman itu, malah mencipta rekod sebagai filem terlaris sepanjang zaman apabila sekuel Sembilu berjaya mengutip kutipan pecah panggung sebanyak RM6 juta.
Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain membikin sensasi tersendiri menerusi filem tersebut. Sebagai penyanyi dan pelakon, filem-filem yang dibintangi mereka dilatari lagu-lagu runut bunyi nyanyian sendiri.
Siapa sahaja yang tidak terbayang juraian air mata Ziana saat menyanyikan lagu Anggapanmu dalam Sembilu. Ramai juga yang menangis tatkala menonton Awie berlalu pergi meninggalkan Wati bersama motosikal Harley Davidson sambil dilatari lagu Ukiran Jiwa dalam babak akhir filem Sembilu 2.
Demi mengimbau semula kenangan penuh nostalgia itu, Ideatelier mengambil inisiatif menganjurkan konsert Sembilu The Reunion yang berlangsung dengan jayanya di Axiata Arena Bukit Jalil pada tanggal 7 Februari lalu.

Perkarangan pintu masuk arena dihias persis sebuah panggung wayang dengan dihiasi oleh deretan poster-poster filem lakonan Awie, Erra dan Ziana.
Sebelum konsert bermula, penonton dihidangkan dengan babak dalam filem Sembilu yang ditayangkan menerusi layar gergasi. Menonton semula babak-babak tersebut seolah-olah sesi memanaskan badan sebelum persembahan bermula.
Kejutan istimewa buat penonton apabila anak kepada ketiga-tiga penyanyi itu iaitu Merah, Engku Aleesya dan Kasih muncul melakonkan watak ibu dan bapa mereka dalam filem Sembilu. Turut terlibat dalam sketsa itu ialah pengarah filem Sembilu sendiri iaitu Datuk Yusof Haslam.
Tamat sketsa, Awie, Erra dan Ziana muncul dari bawah pentas membuka konsert pada malam itu dengan lagu Rock N Roll Ronda Ronda, Sangkar Cinta dan Jendela Hati
Awie membuka segmen solo dengan lagu Di Bayang Awan disusuli dengan lagu Tiada Rahsia Di Antara Kita dan Ukiran Jiwa. Untuk segmen solo kedua Awie memukau penonton dengan lagu Di Ambang Wati, Ratuku dan Di Penjara Janji.
Sumber: Kosmo Digital
No Comment! Be the first one.